[VIDEO] Baru dua bulan berkahwin, suami pergi menghadap Ilahi
SHAH ALAM - Luahan kesedihan seorang wanita mengenai kematian suami yang baru dikahwininya dua bulan lalu di Instagram miliknya meruntun hati netizen.
Airina Roslan menceritakan suaminya, Muhammad Amirul Ashraf Salki meninggal dunia pada jam 12.30 pagi semalam, sekali gus menjadi detik sedih kerana kebetulan genap dua bulan mereka mendirikan rumah tangga.
"Perkahwinan ini akan menjadi memori i yang paling terindah. Mak i cakap “kakak dah tunaikan kewajipan dia untuk berkahwin” kata-kata yang buat i kuat terima semua ni.
"Jangan pernah berhenti sayang I ok? I sayang you Mirul.. awak lelaki yang sempurna. minta semua sedekahkan al-Fatihah untuk arwah suami saya... terima kasih you," tulisnya.
Tambahnya, walaupun suaminya meninggal kerana bermain futsal namun dia tidak mahu peminat futsal yang lain 'takut' untuk bermain permainan itu.
Airina juga menganggap kejadian itu adalah takdir Muhammad Amirul dan dia reda.
"Untuk makluman semua, Mirul kena serangan jantung lepas main futsal semalam. Sebab tu dia berehat. Nanti kita semua jumpa dia dan berehat sama-sama dengan dia ye. Tunggu kitorang ye Amirul. Al-Fatihah," tulisnya lagi.
Wanita itu turut berkongsi video perkahwinannya yang kini tular di media sosial sehingga meraih 59,300 tontonan.
Netizen juga sedih dengan pemergian suaminya serta mendoakan Airina diberi kekuatan untuk menghadapi hari-hari mendatang.
"Inalillahiwailaihirajiun. Salam takziah buat isteri dan keluarga arwah. Semoga terus tabah," tulis elly_shazrinaaa di ruangan komen.
hakim_hariri pula menulis,"Al-fatihah...semoga ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman, Amin."
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!